Semarakkan semangat Malaysia Prihatin - PM



PUTRAJAYA: Semangat Malaysia Prihatin perlu disemarakkan dalam segenap kehidupan rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri.


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bukan sahaja dalam usaha negara menamatkan terus wabak COVID-19, tetapi juga untuk memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.


Beliau berkata, Malaysia Prihatin perlu disematkan dalam ingatan untuk rakyat negara ini mengukuhkan kembali asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.


Katanya, ia perlu dilakukan bersama-sama dan dengan keazaman serta usaha yang bersungguh-sungguh.


"Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini bertemakan 'Malaysia Prihatin'. Tema ini amat bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan ini, bahawa seluruh rakyat Malaysia, penjawat, sektor swasta, sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi musuh di kala ini, iaitu wabak COVID-19.


"Prihatin menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.

"Semangat Malaysia Prihatin ini dizahirkan bukan saja oleh mereka yang bertugas di barisan hadapan, malah rakyat daripada pelbagai laporan masyarakat yang juga wira tidak didendangkan," katanya ketika melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, di sini, pagi ini.


Pelancaran berkenaan disertai oleh barisan Kabinet serta Ketua Setiausaha Kementerian serta ketua jabatan.


Beliau berkata, rakyat Malaysia tampil memberikan bantuan dan sokongan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.


Pada masa sama, Muhyiddin berkata, beliau percaya perasaan cintakan negara boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini.


Katanya, beliau mahu melihat semangat patriotisme sentiasa mekar dalam hati, yang diperkukuhkan lagi sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.


Justeru, Muhyiddin berkata, semua kementerian dan agensi kerajaan diminta menggalakkan penyertaan secara aktif semua lapisan masyarakat dalam aktiviti yang disediakan.


Selain itu, beliau berkata, masyarakat juga digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, bangunan pejabat dan gedung perniagaan serta kenderaan.

"Selepas sekian lama kita menikmati kebebasan dan kemerdekaan ini, amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya sudah dibudayakan dalam kehidupan seharian kita.


"Jalur Gemilang lambang kedaulatan badan kemerdekaan negara. Ia bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan Perlembagaan Negara. Kita telah banyak kali menyaksikan Jalur Gemilang ini dikibar seluruh pelusuk dunia apabila rakyat negara ini mencapai sesuatu kejayaan," katanya.


Pada program berkenaan, Muhyiddin turut melepaskan kembara Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka) Jabatan Penerangan.


Hadirin turut diperdengarkan buat pertama kali lagu Malaysia Prihatin nukilan komposer terkenal, Datuk Mokhzani Ismail yang dinyanyikan Kumpulan Koir PENTARAMA Jabatan Penerangan.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments