Semua masjid, surau di Wilayah Persekutuan boleh beroperasi



KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan untuk membenarkan semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan, untuk beroperasi dengan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan sebelum ini.


Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran beroperasi itu tidak membabitkan surau dan masjid yang berada dalam zon merah.


Katanya, kebenaran itu diberikan berikutan melihat pihak jemaah dan pengurusan masjid dapat mematuhi SOP yang digariskan dengan sempurna selepas kebenaran mula diberikan pada Jumaat lalu.


"Memandangkan kadar pematuhan SOP yang tinggi, mesyuarat khas menteri hari ini memberi kebenaran beroperasi kepada semua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan, kecuali masjid dan surau di zon merah.


"SOP yang ditetapkan adalah masih sama iaitu jumlah jemaah adalah satu pertiga daripada kapasiti sebenar ruang solat utama masjid dan surau, di samping mencatat kehadiran jemaah dan sebagainya.


"Namun, masjid dan surau di negeri lain tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas menteri mengenai pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.


Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan turut membenarkan semua 5,230 rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara untuk kembali beroperasi, tertakluk kepada SOP kerajaan Persekutuan dan negeri.


Katanya, keputusan itu dicapai selepas perbincangan antara Kementerian Perpaduan Negara dengan 16 badan dan persatuan agama yang membuat permohonan bagi rumah ibadat bukan Islam beroperasi.


"Rumah ibadat bukan Islam boleh beroperasi pada hari dan masa seperti sebelum PKP dilaksanakan, namun dengan kehadiran satu pertiga daripada keluasan rumah ibadat itu.


"Kebenaran dan permulaan operasi tertakluk kepada kebenaran kerajaan negeri dan SOP ditetapkan, termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera atau memberi maklumat secara manual," katanya.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.