'Serang hendap' berhasil



LAKUKAN 'serang hendap' ketika kumpulan tonto upahan tidak berwaspada.


Itu tindakan sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam serbuan di Jalan Petaling.


Difahamkan sindiket menjual barangan tiruan jenama terkemuka di lokasi itu menggunakan khidmat tonto lengkap walkie-talkie bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zubir Hamsa berkata, operasi bersepadu itu dilakukan hasil kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Menurutnya, Op Tebah itu dilakukan pada jam 2 petang kelmarin membabitkan pemeriksaan mengejut di beberapa premis di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.


"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis menemui pelbagai barangan disyaki jenama tiruan membabitkan pakaian dan topi menggunakan perihal dagangan palsu berjenama Puma, Nike, Adidas, Vans, Louis Vuitton, Versace serta Lacoste.


"Susulan itu semua barangan bernilai lebih RM1,000 itu disita. Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019," katanya.


Zubir memberitahu, merujuk kepada statistik kes sepanjang 2020, 18 kes diambil tindakan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai sitaan barangan jenama tiruan dianggarkan melebihi RM2 juta.


"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu menjual atau menawarkan barangan jenama tiruan. Jika ia membabitkan pertubuhan atau perbadanan, denda RM15,000 boleh dikenakan bagi setiap barangan tiruan (kesalahan pertama) dan denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barangan jenama tiruan untuk kesalahan kali kedua.


"Individu yang melakukan kesalahan pula boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.


Beliau berkata, kementerian menerusi Bahagian Penguatkuasa memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahupun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang khususnya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan jenama tiruan.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments