Sesi persekolahan di Kuching, Samarahan dan Padawan ditangguh ke 3 Ogos


KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini memutuskan sesi persekolahan bagi sekolah menengah di tiga daerah, iaitu Kuching, Padawan dan Samarahan yang dijadualkan disambung esok ditangguh ke 3 Ogos 2020.


Timbalan Ketua Menteri juga pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata, keputusan berkenaan diambil atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak dan persetujuan bersama antara semua pihak termasuk wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak).


"Penangguhan ini melibatkan Kelas Peralihan, Tingkatan 1, 2, 3 dan 4, Tingkatan 6 Rendah, dan sekolah rendah melibatkan Tahun 5 dan 6 yang dijadualkan bermula pada 15 Julai 2020 serta sekolah rendah bagi Tahun 1, 2, 3 dan 4 yang dijadualkan 22 Julai.


"Sekolah-sekolah yang dikenal pasti adalah sebanyak 138 buah dan ia melibatkan sebanyak 87 buah sekolah di daerah Kuching, 48 buah sekolah di daerah Padawan dan 3 buah sekolah di daerah Samarahan," katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.


Uggah berkata, bagi kelas Prasekolah, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa.


Tambahnya, keputusan ini dibuat berikutan kes penularan COVID-19 di daerah Kuching yang semakin meningkat. 


Beliau memberitahu bagi sekolah-sekolah kawasan hijau yang di luar daerah Kuching, Padawan dan Samarahan, pembukaan sekolah adalah seperti dijadualkan iaitu esok.





Sumber: Utusan Borneo

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.