Setulus hati Musukubi


TANPA mengenal penat lelah, seorang tukang kayu wanita cekal membanting tulang empat kerat menghasilkan pelbagai perkakas sekolah secara percuma untuk disumbangkan kepada Sekolah Rendah Islam Nur Ehsan (SERINE), Titi Gantung, Parit.


Musukubi Shamsuddin, 48, yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu berkata, perkakas sekolah yang dihasilkan sumbangannya bagi keselesaan 154 murid tahun satu hingga tahun enam di sekolah berkenaan kerana belum berkemampuan untuk menyampaikan bantuan dalam bentuk kewangan.


Wanita itu yang juga ibu tunggal itu menghasilkan pelbagai perkakas sekolah seperti rak buku, almari menyimpan sejadah serta al-Quran, meja kaunter, kerusi dan meja menggunakan papan lapis setebal 1.27 sentimeter.


Menariknya, kreativiti Musukubi dalam menghasilkan pelbagai perkakasan itu hanya dengan melihat contoh gambar di Facebook.

"Saya rasa saya boleh buat (perkakas) untuk sekolah, jadi saya buat. Lagipun saya lihat banyak perkakas yang sudah tak boleh pakai. Jadi saya sebagai ahli PIBG, kerana anak, Nur Insyirah Ismail, 8, sekolah di sini, menyatakan hasrat saya untuk menghasilkan perkakas ini tanpa sebarang bayaran.


"Saya hanya melihat contoh gambar membuat perabot dalam media sosial dan membayangkan sendiri untuk membuat bentuk perkakas sekolah dengan kayu yang sudah disediakan pihak sekolah," katanya ketika ditemui di SERINE.


Musukubi, yang lebih mesra dengan panggilan Kak B berkata, dalam sehari, beliau boleh menyiapkan dua hingga tiga jenis perkakas sekolah, yang dibuat setiap Isnin hingga Sabtu bermula jam 8 pagi hingga jam 5 petang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.


Beliau yang tinggal di Kampung Lambor Kiri, berkata selain menghasilkan perkakas sekolah, beliau juga membuat sendiri kelengkapan perabot di rumahnya termasuk buaian, tempat meletak pakaian kotor, meja dan kerusi.

"Saya mula minat kerja pertukangan kayu sejak berpindah balik ke kampung halaman di Kampung Lambor Kiri sekitar 2018. Saya bertukang hanya untuk kepuasan diri sendiri walaupun ada ibu bapa yang meminta menghasilkan perabot rumah selepas melihat hasil kerja saya di sekolah yang sudah berusia hampir 30 tahun ini," katanya yang sebelum ini bekerja di sektor perkilangan selama 25 tahun di Selangor.


Musukubi berkata, pihak pengurusan sekolah juga kini mengumpul dana untuk membina sekolah baharu meliputi bangunan blok satu tingkat, tujuh bilik darjah, bilik guru, pejabat dan sebuah makmal komputer di Gelung Pepuyu, Bota di sini.





Sumber: Harian Metro

0 views0 comments