Siang duit, malam ilmu


KUALA LUMPUR: Tidak memilih duduk sahaja sambil bermain permainan video atau terbaring menonton drama, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ini memanfaatkan masa yang terluang mencari pendapatan sampingan sebagai tukang cuci kasut.


Penuntut semester lima Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Pembinaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Syed Muhammad Haziq Syed Razali, 22, berkata, perkhidmatan cuci kasut dari rumah yang diusahakannya sejak November tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.


"Mulanya saya cuci kasut rakan serumah secara percuma namun tidak sangka sambutan menggalakkan. Kini, saya sudah mencuci lebih 100 pasang kasut," katanya.

Syed Muhammad Haziq yang baru aktif menjalankan perkhidmatan itu pada tahun ini tidak menyangka ia menjadi lubuk rezekinya selepas mencuba pelbagai jenis perniagaan sebelum ini.


"Ketika diploma, saya jual barangan terpakai, baju Melayu dan kasut, tetapi sambutan tidak sehangat seperti sekarang.


"Saya bersyukur dengan rezeki yang ada dan berterima kasih kepada ayah yang tidak putus menyokong saya walaupun pekerjaan ini dipandang rendah segelintir pihak," katanya.

Anak sulung yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata, perkhidmatan cuci kasut dianggapnya sebagai peluang perniagaan yang menguntungkan memandangkan khidmat itu jarang ditawarkan.

"Saya lihat ramai orang ada masalah untuk bersihkan kasut sebab takut kasut mereka yang mahal rosak.


"Saya ambil peluang ini untuk menawarkan khidmat berkualiti demi kepuasan pelanggan dengan bayaran RM25 hingga RM40 sepasang bergantung kepada tahap kotoran.

"Saya akan gunakan berus khas untuk jenis kasut kain seperti suede dan nubuck yang agak sensitif dicuci demi menjaga kualiti kasut," katanya.


Menurut Syed Muhammad Haziq, dia hanya membasuh kasut pada waktu siang dan fokus menyiapkan tugasan pengajian pada waktu malam.


"Kerja sambil belajar kena bijak menguruskan masa yang ada. Selagi kita tidak cuba, selagi itu kita tidak tahu hasilnya.


"Hasil keuntungan diperoleh, saya gunakan untuk keperluan belajar memandangkan saya tidak memohon apa-apa pinjaman pengajian," katanya.




Sumber: Harian Metro

1 view0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.