SIARAN MEDIA KEBENARAN BEROPERASI DIBERI KEPADA SEKTOR TAMBAHAN BAGI MELINDUNGI EKONOMI NEGARA PASCA


Kerajaan senantiasa mengambil tanggungjawab dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 demi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat.


Kerajaan juga mengambil langkah pro-aktif dan responsif dalam mengimbangi kelangsungan ekonomi negara dan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan sektor-sektor ekonomi yang kritikal termasuk sektor perubatan dan keperluan asas untuk beroperasi semenjak 18 Mac 2020 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Langkah ini adalah untuk menjamin kelangsungan ekonomi negara, mengelakkan kehilangan pekerjaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia selain memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh PKP.


Susulan daripada keputusan Kerajaan membenarkan beberapa sektor pembuatan dan perkhidmatan kritikal beroperasi semasa peringkat PKP yang pertama, Kerajaan mendapati tahap pematuhan operasi oleh syarikat-syarikat yang diluluskan adalah baik.


Kerajaan terus mempergiatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan langkah-langkah saringan kesihatan dilaksanakan demi keselamatan pekerja dan pelanggan.


Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta Kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengenalpasti dan memperhalusi sektor-sektor ekonomi tambahan yang boleh dibenarkan beroperasi.


Langkah ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak COVID-19 Ke Atas Ekonomi dan Pasaran Buruh. Jawatankuasa Khas Kabinet ini telah membentangkan beberapa cadangan kepada Jemaah Menteri pada 6 dan 8 April 2020 hasil dari pembentangan oleh MITI, Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional Berhad dan Bank Negara.


Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.


Keputusan Kerajaan ini adalah hasil kaji selidik yang mendapati bahawa penularan COVID-19 bukan sahaja memberi kesan yang besar ke atas kesihatan, tetapi juga akan membawa mudarat kepada prestasi kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya industri PKS sebagai penyumbang tenaga kerja terbesar di Malaysia.


MITI telah memperhalusi sektor-sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi berdasarkan pertimbangan-pertimbangan berikut:


 tahap kepentingannya di dalam rantaian bekalan global (global value chain atau GVC) dan eksport negara. Langkah ini adalah untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport;


 aktiviti ekonomi sektor yang mempunyai gandaan nilai tambah (value-added multiplier) yang tinggi;


 impak ke atas kelangsungan PKS dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan; dan


 jumlah tenaga kerja yang terlibat.


MITI telah menyediakan perincian sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi seperti Lampiran 1. Berikutan keputusan ini, syarikat-syarikat di dalam sektor-sektor tambahan yang disenaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula hari Isnin, 13 April 2020, dari jam 9.00 pagi. Semua permohonan mestilah dibuat secara atas talian di laman sesawang MITI, www.miti.gov.my. Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses.


Pihak syarikat di dalam sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi WAJIB mematuhi syarat-syarat Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan. Selain pematuhan kepada syarat-syarat dan garis panduan yang diperketatkan ini, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa. Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta semasa.


Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) Jumaat,

10 April 2020


Lampiran 1

Senarai Sektor


 Industri Automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya – CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan).


 Industri Mesin dan peralatan


 Industri Aeroangkasa


 Projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan

(i) Projek di mana Kontraktor G1–G2 sebagai kontraktor utama

(ii) Projek yang telah disahkan mencapai kemajuan fizikal 90% ke atas

(iii) Kerja-kerja terowong

(iv) Kerja-kerja penyelenggaraan

(v) Kerja-kerja cerun

(vi) Kerja-kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak

(vii) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak

(viii) Kerja-kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan bahaya

(ix) Projek bangunan dengan 70 IBS score ke atas

(x) Projek pembinaan dengan fasiliti/ kemudahan tempat tinggal untuk pekerja seperti Kuarters Pekerja Berpusat atau kem pekerja

(xi) Perkhidmatan profesional yang terlibat dalam industri pembinaan termasuk arkitek, jurutera perancang bandar, juru-ukur tanah, juru ukur bahan, pengurus projek, pengurus fasiliti dan lain-lain berkaitan.


 Perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) - (hanya terhad kepada: perkhidmatan berkaitan guaman; perkhidmatan berkaitan minyak & gas; aktiviti-aktviti R&D berkaitan COVID19; makmalmakmal ujian bagi sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja.


 Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada registered Traditional and Complementary Medicine or TCM practitioners)


 Perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan.


 Perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja).


 Perkhidmatan dobi (full service dan bukan layan diri)



Sumber: Kementerian Perdagangan dan Industri

2 views0 comments