Solskjaer 'sayang' Pogba



PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya beliau mampu memulihkan semula prestasi terbaik Paul Pogba selepas pemain kelahiran Perancis itu memberi impak besar pada penampilan pertama dalam tempoh enam bulan ketika seri 1-1 menentang Tottenham awal pagi tadi.


Solskjaer meletakkan pemain yang meraih trofi Piala Dunia itu di bangku simpanan tapi Pogba berjaya meraih penalti untuk gol penyamaan United, yang disempurnakan oleh Bruno Fernandes.


Pogba bergelut dengan kecederaan buku lali musim ini, dengan hanya melakukan sembilan penampilan dan dikaitkan akan meninggalkan Manchester.


"Paul sentiasa mempunyai sebab untuk membuktikan kenapa dia adalah yang terbaik. Dia melalui musim yang mengecewakan kerana kecederaan.


"Bagi saya Paul sudah menunjukkan hari ini bagaimana dia boleh memberi sumbangan. Saya hanya perlu memastikan dia kembali cergas, jadi dia boleh memberikan aksi terbaik," kata Solskjaer


Meraih satu mata menyaksikan kedua-dua pasukan terlepas peluang untuk melonjak ke kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).


United kekal di tangga kelima, dua mata di belakang Chelsea, namun Spurs yang sangat terdesak untuk meraih mata kekal di tangga kelapan.


Jose Mourinho berada pada landasan terbaik untuk menewaskan bekas pasukannya apabila Steven Bergwijn meletakkan Tottenham di depan pada minit ke-27.


Bagaimanapun, Mourinho kecewa apabila tekanan United pada separuh masa kedua akhirnya membuahkan hasil sembilan minit sebelum perlawanan tamat apabila Fernandes menyempurnakan sepakan penalti.


"Kami tahu Manchester United mempunyai rekod baik musim ini dari segi memperoleh sepakan penalti, jadi kami sedar situasi di dalam petak penalti sangat bahaya buat kami.

"Saya rasa ketika mereka dihadiahkan penalti pertama, pengadil membuat keputusan yang saya akui sangat sukar, tapi insiden Video Bantuan Pengadil (VAR) adalah cerita lain.

"Pengadil boleh melakukan kesilapan tapi saya tidak rasa VAR mampu melakukan kesilapan," katanya.




Sumber: Harian Metro

2 views0 comments