SPR Sarawak ditutup, kakitangan positif COVID-19


KUCHING: Operasi Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sarawak ditutup sementara bermula Isnin lalu sehingga 2 Ogos ini selepas seorang daripada kakitangannya didapati positif COVID-19, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmarudin Ishak, hari ini.


Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan pandemik COVID-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, kesemua kakitangan PPN Sarawak yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan berkenaan telah diarah menjalani saringan COVID-19 serta kuarantin kendiri wajib selama 14 hari.


"Susulan daripada itu, operasi pejabat PPN Sarawak ditutup sehingga selesai tempoh kuarantin berkenaan memandangkan tiada kakitangan yang bertugas di pejabat itu sepanjang tempoh kuarantin," katanya dalam satu kenyataan.


Katanya pada masa yang sama, pembersihan dan nyah kuman di ruang dan kawasan sekitar pejabat telah dilaksanakan sebagai langkah pencegahan penularan wabak berkenaan.


Beliau berkata urusan-urusan pilihan raya seperti pendaftaran dan semakan pengundi serta yang berkaitan masih boleh dilakukan melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPRDaftar dan MySPRSemak, Hotline SPR di 03-88927018 atau SMS ke 15888 (taip SPR SEMAKNO. KAD PENGENALAN) - BERNAMA




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.