SPRM pantau syarikat terjejas COVID-19 mungkin beri rasuah dapatkan projek


PUTRAJAYA: Syarikat terjejas pandemik COVID-19 sehingga mungkin memilih memberi rasuah untuk mendapatkan projek, diingatkan bahawa tindakan mereka sentiasa dipantau dan tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018).


Pindaan itu yang berkuat kuasa 1 Jun lalu, memperuntukkan tanggungjawab korporat yang ketat terhadap organisasi komersial atas kegagalan mencegah rasuah.


Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali, berkata walaupun trend rasuah sedemikian masih tidak kelihatan, pihaknya sedang memantau jika ada mana-mana syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan.


"Menurut penganalisis, dalam tempoh pandemik COVID-19 situasi ini akan berlaku, berikutan tekanan yang dihadapi semua pihak khususnya syarikat, namun ketika ini ia masih tidak dilihat SPRM," katanya hari ini.

Mengikut peruntukan Seksyen 17A, pegawai tertinggi syarikat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) antara individu yang bakal diambil tindakan oleh SPRM sekiranya syarikat mereka terbabit dalam aktiviti rasuah.


"Sebagai pegawai tertinggi syarikat yang mengawal mengawal syarikat, mereka seharusnya mencegah sebarang gejala atau aktiviti yang memungkinkan perbuatan rasuah yang menjadi liabiliti kepada syarikat.


"Individu yang menguruskan dan mengawal syarikat akan turut dikenakan tindakan mengikut peruntukan sedia ada walaupun pekerja atau kakitangan mereka disyaki terbabit melakukan rasuah," katanya.


Setakat ini, SPRM belum membuka sebarang kertas siasatan di bawah Seksyen 17A.


Katanya, terdapat banyak laporan dan aduan yang diperoleh SPRM berdasarkan peruntukan terbaharu itu namun siasatan tidak boleh dilaksanakan sekiranya kesalahan itu berlangsung sebelum tarikh 1 Jun.


"Kita memang ada terima aduan dan maklumat dalam masa terdekat ini tetapi berdasarkan peruntukan seksyen ini, kesalahan ini tidak boleh 'retrospective' (kebelakang) iaitu kesalahan yang dilakukan sebelum 1 Jun," katanya.


Katanya, sejak pengumuman pelaksanaan Seksyen 17A, banyak syarikat swasta dan korporat yang mempertingkatkan tatacara dalam pengurusan syarikat supaya lebih telus dan bebas rasuah.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments