Suntikan vaksin Pfizer perlu dos ketiga



Washington: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer, Albert Bourla dalam satu temu bual pada Khamis memaklumkan bahawa penerima vaksin Covid-19 keluaran syarikat ubat-ubatan itu kemungkinan memerlukan suntikan ketiga dalam tempoh setahun.


Menurutnya, penerima vaksin itu juga mungkin disuntik pada setiap tahun bagi membendung penularan pandemik berkenaan.


"Kemungkinan terdapat keperluan untuk suntikan ketiga iaitu antara enam dan 12 bulan sebelum divaksinkan semula pada setiap tahun," katanya.


Sehinga kini penyelidik tidak mengetahui berapa lama perlindungan yang diberikan vaksin Covid-19 ke atas manusia bagi menghalang jangkitan Covid-19.


Satu kajian pada awal bulan ini yang dikeluarkan oleh Pfizer menunjukkan suntikan vaksin keluarannya berkesan lebih 91 peratus bagi melindungi penerimanya daripada dijangkiti pandemik berkenaan.


Vaksin Pfizer-BioNTech dihasilkan dengan kerjasama antara syarikat ubat-ubatan dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Pfizer dengan firma ubat-ubatan Jerman, BioNTech.


Ia memainkan peranan penting dalam kempen vaksinasi di AS dan Eropah.


Pada Februari lalu, Pfizer mengumumkan akan menguji suntikan ketiga vaksin keluarannya sebagai usaha membendung jangkitan Covid-19.



--Sumber: Harian Metro

1 view0 comments