Tabah jual Coconut Shake demi keluarga



Kota Bharu: Walaupun keadaan fizikalnya tidak sempurna, namun penjual air Coconut Shake ini tetap gigih mencari rezeki walaupun terpaksa menggunakan tongkat berkaki empat.


Saidi Mamat, 57, atau Pak Muda sudah enam tahun berjalan menggunakan tongkat berkenaan akibat kecederaan di bahagian pinggul selepas terbabit kemalangan jalan raya pada 2007 lalu.


Namun, kesungguhan bapa kepada lima cahaya mata itu harus dipuji kerana berusaha mencari rezeki selagi termampu tanpa menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang.


"Saya menjual air Coconut Shake sejak tiga tahun lalu apabila terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya, dan berniaga atas idea seorang rakan.


"Setiap hari kecuali Jumaat, saya mengangkut barangan niaga sejauh enam kilometer (km) menaiki motosikal roda tiga. Biasanya, di rumah saya dibantu isteri, Suma Asmira Zakaria, 33, untuk mengangkat barangan sebelum menunggang sendirian motosikal ke lokasi berniaga.


"Di gerai, saya dibantu seorang pekerja kerana tidak boleh berdiri lama selain turut mengamalkan konsep pandu lalu," katanya ketika ditemui di gerai miliknya di Jalan Tengku Ahmad Panglima, di sini, semalam.


Saidi berkata, ada pelanggan akan memohon maaf apabila melihat dia yang bertongkat menghantar air ke kereta kerana rasa bersalah, namun ia bukan perkara yang membebankan.


Menurutnya, akibat kemalangan itu, dia tidak boleh berjalan seperti biasa dan doktor memaklumkan kos pembedahan pinggul dianggarkan berjumlah RM13,000.


"Ia bukan suatu nilai yang kecil bagi saya yang tiada apa-apa ini. Justeru, saya perlu tabah meneruskan hidup dengan keadaan sebegini demi isteri dan anak-anak," katanya yang turut menerima bantuan bulanan RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).



Sumber: Harian Metro

3 views0 comments