Tak halang ke AFC


Belgium, KV Kortrijk sedia melepaskan Luqman Hakim Shamsudin, 18, untuk bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara pada Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan, Oktober depan.


Menurut wakil kelab itu, tidak wujud sebarang halangan untuk penyerang muda sensasi negara itu beraksi di saingan AFC sekiranya Luqman sah menjadi milik KV Kortrijk.


"Sekarang ini wujud pula dakwaan yang Luqman takkan diberi kebenaran untuk mewakili Malaysia di kejohanan AFC pada Oktober ini. Saya menyangkal dakwaan itu sebaliknya kami sentiasa terbuka untuk memberi kebenaran kepada Luqman bersama pasukan kebangsaan apatah lagi saingan AFC pentas tertinggi.


"Dakwaan mengaitkan kami akan menghalang Luqman tidak betul. Saya percaya sekiranya Luqman dapat berlatih untuk beberapa bulan di KV Kortrijk dan seterusnya pergi ke AFC, tahap permainan terutama keyakinannya akan bertambah.


"Kami mahu berikan yang terbaik untuk Luqman dan bos saya (pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan) tetap dengan janjinya mahu bawa Luqman ke sana," katanya kepada Arena Metro.


Kejohanan itu sangat penting buat skuad B-19 yang meletakkan sasaran layak ke separuh akhir sekali gus mencipta sejarah layak buat kali pertama beraksi di Piala Dunia B-20.

Sementara itu, tawaran rasmi untuk mendapatkan Luqman sudah diserahkan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada minggu lalu.


Beliau berkata, kini segala-galanya terpulang kepada Luqman untuk menerima atau tidak tawaran kontrak selama lima tahun kepada pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

"Walaupun terdapat spekulasi tawaran Newcastle United dan kelab Jerman, kami tidak mengalah apabila sudah menyerahkan kontrak rasmi kepadanya minggu lalu.


"Sekarang kami bersama FAS dan ejennya sedang berbincang mengenai beberapa perkara. Segalanya atas tangan Luqman, kami tetap menunggu dan harap semuanya dapat diselesaikan segera.


"Apa yang boleh saya katakan, Luqman semakin hampir ke Belgium. Tapi kalau ada perkara lain yang menghalang, mungkin sebab Real Madrid atau mana-mana kelab besar yang membelinya," katanya berseloroh dan pada masa sama yakin Luqman akan memilih KV Kortrijk.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments