Tak pantau anak, ibu bapa 'hilang' RM1,000


POLIS mengeluarkan kompaun terhadap 22 lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan satu kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam pemantauan Op Covid-19 di dua lokasi berbeza di Kepala Batas, petang semalam.


Ketua Polis Daerah Seberang Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemantauan dijalankan di Taman Teratai Indah mendapati sekumpulan 15 lelaki berusia 17 hingga 22 tahun berkumpul dan bermain bola keranjang.

"Pemantauan pada jam 6 petang semalam menemui sekumpulan lelaki bermain bola keranjang tanpa memikirkan bahaya wabak Covid-19.


"Perbuatan itu gagal mematuhi PKPB iaitu larangan beriadah dan memaksa polis menahan mereka di bawa ke Balai Polis Mak Mandin sebelum mengeluarkan kompaun kepada mereka semua," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Dalam pada itu, Noorzainy berkata, seramai tujuh lelaki berusia 13 hingga 24 tahun ditahan kerana menunggang motosikal beramai-ramai dan berkumpul di sebuah stesen minyak dekat Penaga jam 6.40 petang semalam.


"Semua individu itu termasuk seorang pelajar tingkatan satu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

"Sebaik siasatan dilakukan, mereka dikenakan kompaun," katanya.


Kompaun RM1,000 itu dikeluarkan selaras Akta 342 di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.


Noorzainy menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing supaya patuh pada PKPB dalam memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.




Sumber: Harian Metro

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.