Tarikh buka semula sekolah diketahui esok



KEPUTUSAN tarikh pembukaan semula sesi sekolah membabitkan seramai 398,446 pelajar dijangka akan diketahui esok, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya.

Beliau berkata, sesi pembukaan itu mengkhususkan dan memberi fokus kepada pelajar tingkatan lima dan enam.


"Hanya 398,446 pelajar membabitkan seramai 347,177 pelajar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (2,935), Sijil Tinggi Agama Malaysia (2,738) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 4,5596 akan memulakan sesi persekolahan sebaik sahaja tarikh pembukaan semula sekolah diumumkan.


"Sekolah hanya akan dibuka dua minggu selepas pengumuman, keputusan hasil perbincangan diantara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kementeriaan Pendidikan Malaysia (KPM) petang ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas membuat lawatan kerja dan tinjauan simulasi sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini.


Muslimin berkata, bagaimanapun penugasan bagi semua guru tingkatan berjalan seperti biasa di sekolah.


Katanya, pihaknya sudah membuat simulasi pada 8 Mei yang lalu di beberapa sekolah di kawasan Selangor dan Putrajaya.


"Semua guru nanti akan diuruskan oleh pihak pentadbiran sekolah dan kita menggunapakai guru lain untuk membantu, kalau dahulu kelas ada lima jadi sekarang ada sepuluh atau lebih, ia bergantung kepada kapasiti.


"Apabila kita meleraikan kelas ini, ia bermaksud kita terpaksa menggunakan banyak tenaga guru, kita menggalakkan setiap kelas antara 17 hingga 18 orang maksimum.


"Jadi, saya kira lebih baik kalau setiap guru itu memang ditugaskan hadir sama dan memberi bantuan dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) untuk memastikan proses bersemuka itu berjalan dengan sempurna," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Muslimin berkata, pihaknya mengambil tahu dan prihatin dengan kebimbangan oleh ibu bapa pelajar berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika pembukaan semula sekolah nanti.


"Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan sentiasa memastikan pihak pentadbiran sekolah mengikut garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.


"SOP itu akan dipantau oleh guru di sekolah masing-masing dengan mementingkan penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu bagi mengelakkan risiko jangkitan," katanya.

Pihaknya turut menasihati ibu bapa pelajar supaya mengenalpasti sendiri proses gejala yang dihadapi oleh anak masing-masing dan mendapatkan rawatan jika perlu.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments