Tentera AS berundur dari Afghanistan bermula 1 Mei



Washington: Joe Biden mengumumkan penarikan balik pasukan tentera AS dari Afghanistan tanpa syarat.


Keputusan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berhasrat menamatkan peperangan paling lama di Afghanistan yang bermula sejak 20 tahun lalu.


Biden berkata, pasukan tentera AS akan meninggalkan Afghanistan sebelum ulang tahun ke-20 tragedi serangan 11 September pada tahun ini.


Langkah pengunduran itu akan bermula pada 1 Mei depan.


Menurutnya, AS sudah mencapai misi asal menumpaskan kumpulan pengganas antarabangsa di sebalik tragedi serangan 11 September 2001.


Malah, katanya, sebab untuk pasukan tentera As terus berada di Afghanistan semakin kabur.


Bagaimanapun, Biden menegaskan pengunduran itu tidak dilakukan secara terburu-buru tetapi yakin dengan keputusan berkenaan.


"Serangan dahsyat itu sudah berlaku kira-kira 20 tahun lalu, jadi tidak ada sebab mengapa kita perlu terus berada di sana.


"Sudah tiba masanya kita tamatkan peperangan ini," katanya dalam ucapannya yang disiarkan secara langsung di televisyen.



--Sumber: Harian Metro

0 views0 comments