Terbang meja gara-gara terlanggar meja geng lain



KOTA TINGGI: Gara-gara terlanggar meja satu kumpulan yang sedang menyambut sambutan ulang tahun kelahiran telah mencetuskan satu pergaduhan sehingga berlakunya adegan membaling meja.


Dalam satu kejadian berlaku di sebuah kafe di Forest City, Gelang Patah pada pukul 8 malam 23 Ogos lalu, pergaduhan berkenaan melibatkan dua kumpulan yang masing-masing terdiri daripada 10 dan lima lelaki.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian berlaku, terdapat sekumpulan 10 lelaki sedang meraikan sambutan hari jadi salah seorang rakan mereka.


“Namun pergaduhan tercetus apabila satu lelaki daripada kumpulan lima lelaki lain terlanggar meja mereka sehingga terjadi perselisihan faham hingga mengeluarkan kata-kata kurang sopan antara satu sama lain.


“Pertengkaran bertambah kecoh hingga terjadi adegan membaling meja di kafe tersebut,” katanya ditemui pemberita selepas Program Acara Menembak Ketua Polis Johor Bersama Media Johor di Lapang Sasar Ladang Rem, di sini hari ini.


Beliau mengulas satu video yang tular dalam media sosial berhubung pergaduhan dua kumpulan di sebuah lokasi sekitar Iskandar Puteri kelmarin.


Susulan itu, Dzulkhairi berkata, pihaknya telah menahan empat lelaki berusia 19 hingga 24 tahun di sekitar Johor Bahru semalam selepas menerima satu laporan polis yang dibuat oleh pemilik kafe.


Katanya, kesemua suspek telah disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat.


“Tiada kecederaan yang berlaku akibat pergaduhan ini,” katanya.


Dalam pada itu, Dzulkhairi menafikan pergaduhan tersebut mempunyai kaitan dengan perkauman dan beliau meminta orang ramai supaya menyemak kesahihan berita sebelum menyebarnya dalam media sosial.



– Sumber: UTUSAN

0 views0 comments