Terima khabar isteri maut kemalangan menerusi IG



Jakarta: Luluh hati seorang suami apabila mengetahui kemalangan meragut nyawa isteri tersayang melalui akaun Instagram (IG) miliknya.


Rahmat Hidayatullah berkata, khabar duka itu diketahui selepas rakannya menunjukkan sekeping gambar kemalangan dan bertanyakan adakah mayat itu isterinya, Pingkan Lumintang, 30.


Menerusi temubual dengan TV One, Rahmat berkata, dia terlalu sedih dengan kehilangan isteri berikutan anak mereka masih terlalu kecil untuk memahami.


"Tentu sangat sedih kerana isteri saya meninggalkan dua anak yang masih kecil. Mereka masih memerlukan seorang ibu," katanya.


Kejadian itu berlaku selepas isterinya terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Ragunan, Pasar Minggu, Jakarta Selatan selepas dilanggar kereta dipandu anggota polis.


Pingkan mengalami cedera di kepala, patah kaki kanan dan meninggal dunia di tempat kejadian. - Agensi


Rahmat berkata, isterinya bekerja bukan saja untuk membantunya malah untuk diberikan kepada orang tuanya.


"Bukan hanya bantu rumah tangga saya, dia juga untuk membantu kelangsungan hidup ibunya," katanya.


Katanya, dia diberitahu kejadian itu oleh orang tidak dikenali menerusi akaun Instagram.


"Saya sendiri mendapat berita daripada seseorang melalui media sosial memberitahu kemalangan di Pasar Minggu.


"Dia bertanyakan adakah benar gambar ini adalah isterinya, saya jawab memang isteri saya," katanya.


Rahmat kemudian menghubungi pejabat isterinya bertanyakan adakah isterinya sudah tiba di pejabat.


"Saya diberitahu isteri tiada di pejabat dan sepatutnya sudah sampai untuk memulakan kerja jam 12 tengah hari," katanya.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments