Terlepas kes jual organ, hadapi tuduhan pecah amanah pula



KUCHING: Berita mengenai pengakuan seorang lelaki kepada wartawan portal berita The Sun dari United Kingdom kononnya dia terbabit dalam aktiviti membeli dan menjual organ manusia adalah tidak benar.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata siasatan selama 12 hari selepas lelaki berusia 48 tahun itu ditahan pada 13 Ogos lalu mendapati tiada sebarang keterangan ditemui yang menunjukkan suspek terbabit dalam kegiatan itu.


Siasatan juga mendapati bahawa suspek membuat dakwaan palsu ketika ditemubual wartawan The Sun itu.


"Polis sudah menghubungi wartawan The Sun terbabit dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada beliau dalam membantu siasatan itu.


"Kertas siasatan kes itu sudah diedarkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk keputusan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Bagaimanapun, Aidi berkata, suspek ditahan semula pada jam 11 pagi tadi untuk siasatan bersabit satu kes pecah amanah yang berlaku pada tahun 2013.


"Pada tahun 2013, suspek bertugas di Jabatan Insolvensi Sarawak dan dia disyaki melakukan penipuan dalam mengeluarkan baucar pembayaran terhadap beberapa orang yang tidak ada kaitan dengan Jabatan Insolvensi Sarawak membabitkan kerugian sebanyak RM249,101.25.


"Kertas siasatan kes pecah amanah itu sudah diedarkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 24 Ogos 2020 dan keputusan diterima untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Pecah Amanah Jenayah oleh Penjawat Awam) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 2 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya sambil memaklumkan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuching, esok.


Pada 10 Ogos lalu, polis menerima satu laporan berhubung satu artikel dalam portal berita The Sun dari United Kingdom bertajuk 'ORGANS FOR SALE' Kidney trafficker brags to The Sun about luring poor victims into selling organs to desperate Brits on Facebook for £85k.


Artikel itu mendakwa bahawa seorang wartawan The Sun yang menyamar sebagai seorang pembeli berjaya menemubual seorang lelaki di sebuah hotel di Kuching dan ia dirakam secara sulit.


Dalam rakaman itu, lelaki terbabit mengaku bahawa dia sudah menjual banyak buah pinggang yang dibeli daripada penduduk miskin dari seluruh dunia semenjak tahun 2010 dan kesemua transaksi dikatakan dibuat melalui Facebook.


Kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.


Pada 13 Ogos lalu, suspek yang diburu polis menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan direman selama tujuh hari pada kali pertama dan disambung reman selama lima hari sehingga hari ini.


"Soal siasat dan siasatan yang terperinci telah dijalankan terhadap suspek dan dakwaan yang menyatakan bahawa dia terbabit dalam kegiatan menjual organ manusia adalah tidak benar," katanya.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.