TH untung RM1.6 bilion tahun kewangan 2018



KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) mencatatkan keuntungan bersih selepas zakat berjumlah RM1.6 bilion pada tahun kewangan 2018, susut 53 peratus atau RM1.8 bilion berbanding RM3.4 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.


Dalam Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan tahun 2018 yang dikemukakan lewat dua tahun, TH mengumumkan penurunan keuntungan tersebut didorong oleh perbelanjaan bukan operasi besar melibatkan rosot nilai, hapus kira dan pelarasan nilai saksama serta kerugian kredit yang dijangka ke atas aset-aset TH.


Menurut TH, keseluruhan perbelanjaan bukan operasi itu berjumlah RM1.5 bilion berbanding hanya RM140 juta pada tahun 2017 setelah mengambil kira rosot nilai yang ketara ke atas pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan entiti usahasama berdasarkan piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 136 (MFRS 136) dan kerugian nilai saksama ke atas pelaburan hartanah di bawah MFRS 140.


TH mendedahkan Pengagihan Aset Strategik (SAA) syarikat itu juga telah dikaji semula dan diperkukuhkan sejajar dengan selera risiko TH di samping lebih fokus kepada model pendapatan berulang melalui instrumen kewangan yang mempunyai kedudukan kredit kukuh.


“Sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula, TH akan berada di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam usaha memenangi semula kepercayaan pendeposit.


“Dalam merasionalisasikan perbelanjaan, TH akan melaksanakan proses secara holistik termasuk menilai semula kos perkhidmatan dan operasi haji serta merangka program tanggungan kos haji yang lebih mampan,” katanya dalam Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan 2018 itu.


Menurut TH, sehingga 28 Disember 2018, pelaburannya amat terdedah kepada pasaran ekuiti tempatan dengan hampir 40 peratus aset TH dilaburkan dalam sektor utama seperti perladangan, minyak dan gas, pembinaan, hartanah dan telekomunikasi.


Menjelang akhir Oktober 2018, sebahagian besar iaitu 30 peratus daripada pelaburan-pelaburan itu telah mengalami kerugian belum direalisasikan melebihi 50 peratus daripada nilai pelaburan asalnya.


TH melaporkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH telah diluluskan kerajaan pada Disember 2018 dan dibentangkan kepada Parlimen dengan pelan tersebut merangkumi penubuhan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. sebagai syarikat tujuan khas (SPV) untuk memperoleh aset-aset TH yang mengalami kerugian akibat keadaan pasaran semasa serta aset-aset berhasil rendah.


SPV tersebut yang dimiliki sepenuhnya kerajaan bagi memberi keyakinan dan kebolehpercayaan kepada instrumen yang diterbitkan SPV sebagai pertimbangan jualan kepada TH.


Urusharta Jamaah juga bertanggungjawab untuk mengoptimumkan pemulihan daripada aset yang dipindahkan melalui proses penjualan apabila pasaran modal dan kewangan telah pulih.


“Pada 27 Disember 2018, TH telah memindahkan 106 ekuiti tersenarai domestik, 1 syarikat perladangan tidak tersenarai dan 29 hartanah serta tanah kepada SPV.


“Sebagai balasan kepada pemindahan aset-aset tersebut, SPV telah menerbitkan Sukuk berjumlah RM19.6 bilion dan baki pertimbangan jualan sebanyak RM300 juta dibayar secara tunai kepada TH.


“Kerajaan turut menunjukkan komitmen dengan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi tahun 2020 dan RM1.73 bilion selanjutnya setiap tahun sehingga keseluruhan Sukuk ditebus,” katanya.


Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi 2018 yang sudah diaudit itu dibentangkan di Parlimen semalam telah dihantar kepada Jabatan Audit Negara pada April 2019.



– UTUSAN ONLINE

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.