Tiga amalan utama hidup Muslim


BUMI yang dihuni sekalian manusia ini merupakan salah satu planet yang sentiasa berputar dan bergerak pada paksinya berdasarkan ketentuan yang ditetapkan Allah SWT. Oleh sebab itu, wujudlah siang dan malamnya, ada pagi dan petang, ada waktu dinihari dan senjakala dan begitulah seterusnya himpunan masa yang menghiasi pentas hidup manusia sejagat. Malah, kehidupan manusia juga berlangsung dalam keadaan seperti itu juga. Ada ketikanya manusia berasa senang dan pada waktu yang lain pula ditimpa susah, kadang-kadang dia gembira dan kadang-kadang pula dia berubah menjadi sedih. Pendek kata, tidak ada sesuatu pun yang abadi dalam kehidupan ini melainkan Allah Yang Maha Esa.


Melihatkan pusingan dan putaran roda hidup manusia yang sentiasa berubah, ada pasang dan surutnya, ada turun dan naiknya, maka dia amat memerlukan bekalan atau perisai kukuh untuk menghadapi cabaran hidup. Sehubungan itu, Islam sebagai pegangan hidup yang serba lengkap dan menyeluruh mengajar setiap Muslim supaya berpegang pada tiga amalan utama apabila berdepan dengan persoalan hidup ini iaitu pertama, istiqamah; kedua, istikharah; dan ketiga, istighfar.


Istiqamah membawa maksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendiriannya yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah juga pun. Biar apapun yang terjadi dan apa yang bakal dihadapinya, pendiriannya yang asal tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasadnya akan menjadi pertaruhan. Yang penting baginya, pendirian menjayakan cita-citanya yang suci akan tercapai dan berjaya jua. Ringkasnya, istiqamah memantapkan akidah dalam amalan kita kepada Allah SWT.

Selanjutnya, begitu pentingnya istiqamah ini sehingga pernah diriwayatkan bahawa ada seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku satu pegangan hidup dalam Islam yang tidak perlu aku ajukan soalan-soalan yang lain. Lantas baginda menjawab dengan bersabda maksudnya: "Katakanlah! Aku beriman kepada Allah, kemudian tetap teguhlah (beristiqamahlah) pada pendirian itu." (Hadis riwayat Muslim)


Istikharah pula adalah salah satu saluran untuk seseorang Muslim memohon petunjuk Ilahi dalam setiap langkah, sekali gus memohon pertimbangan yang jitu dalam setiap keputusan. Sebenarnya setiap insan mempunyai pilihan dan juga kebebasan untuk berbuat apa sahaja termasuk untuk berkata-kata dan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Walaupun begitu, menurut perspektif Islam, tidak ada kebebasan mutlak tanpa batasan bagi seseorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Dengan kata lain, seorang Muslim terikat dengan peraturan yang ditetapkan Allah dalam menjalani kehidupan ini. Oleh itu, seorang Muslim sewajibnya berfikir banyak kali dan meletakkan neraca Ilahi sebelum berucap mahupun bertindak. Dalam hal ini, Muslim dianjurkan agar berdoa ke hadrat Allah.


Akhirnya istighfar adalah amalan muhasabah diri dan seterusnya memohon keampunan Allah SWT atas kelemahan, kekurangan dan kedaifan diri. Ini kerana setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Tetapi setiap kesalahan dan dosa yang dilakukan adalah penyakit yang akan merosak dan menghancurkan manusia. Oleh sebab itu, segala kesalahan dan dosa yang dilakukan sewajibnya dihindari oleh setiap Muslim. Tidak sedikit musibah dan bencana yang menimpa manusia akhir-akhir ini sebenarnya berpunca daripada kesalahan dan dosa manusia sendiri. Maka inilah masa yang paling sesuai bagi setiap Muslim untuk bermuhasabah diri dan seterusnya memanjatkan doa keampunan ke hadrat Ilahi supaya diampuni segala kesalahan dan dosanya. Begitulah sunah kehidupan ini yang tidak pernah sunyi daripada cabaran dan dugaan yang melanda manusia. Maka untuk selamat dalam perjalanan hidup yang penuh liku dan ranjau duri ini serta mengharungi gelombang hidup yang berombak, setiap Muslim wajib menghiasi diri dengan istiqamah, istikharah dan istighfar supaya meraih keredaan Ilahi, sekali gus meraih kesejahteraan dan kebahagiaan hidup dunia akhirat.


Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin



Sumber: Harian Metro

1 view0 comments