Tikam isteri, bapa mentua: Mangsa stabil



POLIS sedang melengkapkan siasatan berhubung kejadian seorang lelaki ditemui mati tergantung selepas menikam isteri dan bapa mentuanya di rumah mereka di Bangi, awal pagi kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa iaitu wanita berusia 40-an dan bapanya berusia 64 tahun masih dirawat di Hospital Serdang.

Menurutnya, keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan stabil.


"Penyiasatan kes dianggap selesai apabila suspek gantung diri dan punca kejadian disebabkan perselisihan faham suami isteri.


"Bagaimanapun, kita (polis) masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.


Semalam dilaporkan, polis menerima laporan dibuat wanita terbabit yang datang bersama bapanya ke balai polis pada 12.03 tengah malam selepas dipukul suaminya.

Mangsa mendakwa dipukul suami dengan kayu dan ditumbuk di kepala menyebabkan lebam berpunca daripada perselisihan faham isu kewangan.


Polis kemudian memanggil suspek ke balai polis selepas bapa mangsa meminta bantuan mereka untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan kedua-duanya cuba menyelesaikan secara damai serta kelihatan tenang.


Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah suspek mengambil pisau lalu menikam mangsa dan bapa mentuanya sebelum menggantung dirinya menggunakan cadar di kipas siling bilik tingkat bawah rumah mereka.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments

Recent Posts

See All