'Tolong jaga diri dan ambillah vaksin'



Kuala Lumpur: "Tolong...tolong jaga diri dan ambillah vaksin," kata bekas pesakit Covid-19, Rahmah Ghazali, 37, yang menetap di Sheffield, United Kingdom (UK).


Rahmah bersama suaminya, Hisyam Salleh, 38, dan anak perempuan mereka, Sherynn Aishah, 9, dikesan positif Covid-19 sebelum sempat mendapatkan suntikan vaksin yang dijadualkan sebelum sambutan Aidilfitri lalu.


Menurutnya, pengalaman dijangkiti Covid-19 membuka matanya bahawa virus itu sangat ganas dan boleh membawa maut terutama kepada golongan berisiko.


Menceritakan pengalamannya itu, Rahmah berkata, pada mulanya hanya suaminya mengalami gejala seperti demam, pening, cirit-birit dan sukar bernafas.


"Sebelum itu, suami ada mengadu penat dan saya menyangkakan kerana berpuasa. Lagipun kami tiada kontak kes positif disebabkan saya bekerja di rumah, sekolah anak tiada kes dan suami kali terakhir keluar bekerja seminggu sebelum itu.


"Namun pada 8 Mei, suami buat ujian menggunakan kit ujian aliran lateral pantas (Rapid lateral flow test kit) yang diberikan oleh rakan.


"Terdapat tiga kit, suami buat dua kali ujian dan mendapat keputusan positif, lalu saya guna satu lagi kit untuk buat ujian sama tapi keputusan saya negatif," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.


Bercerita lanjut, Rahmah berkata, suaminya terpaksa mengasingkan diri dalam bilik dan pada masa sama memohon mendapatkan kit ujian RT-PCR secara percuma di laman web kerajaan negara itu.


Katanya, sebaik menerima kit ujian itu mereka segera melakukan ujian calitan sendiri sebelum menghantar semula sampel terbabit kepada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) untuk tindakan lanjut.


Malangnya, Rahmah sekeluarga disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari dengan dipantau oleh pihak NHS yang menghubunginya setiap hari untuk memastikan proses kuarantin dipatuhi selain mengetahui tahap kesihatan mereka.


"Saya dan suami alami hilang deria rasa dan bau, malah badan saya juga menggigil selain pening serta loya. Tapi Sherynn tidak menunjukkan sebarang gejala," katanya.


Menurutnya, keluarganya di Malaysia turut dimaklumkan mengenai perkara itu, mereka amat bimbang dan menghubunginya setiap hari untuk bertanya khabar.


Katanya, walaupun sedih terpaksa menyambut Aidilfitri dalam kuarantin, saya bersyukur kerana jiran banyak membantu membelikan barangan keperluan dan ubat-ubatan.


"Selepas menjalani rawatan dan kuarantin selama 10 hari, kami sekeluarga berjaya sembuh tapi deria rasa saya sudah berkurangan, manakala suami pula langsung tiada deria rasa sehingga kini," katanya yang turut berkongsi mengenai pengalaman sebagai pesakit Covid-19 di Facebook miliknya.


Rahmah berkata, dia diberitahu boleh mengambil suntikan vaksin selepas 28 hari positif dan mereka sekeluarga akan mendaftar semula untuk menerima suntikan itu pada pertengahan Jun ini.



--Sumber: Harian Metro

1 view0 comments