Trend hilang kerja dijangka naik 200%


Trend kehilangan pekerjaan di negara ini dijangka akan meningkat daripada 50 peratus kepada 200 peratus sepanjang tahun ini berikutan banyak perniagaan dan syarikat menutup operasi akibat pandemik Covid-19.


Berdasarkan laporan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati individu kehilang pekerjaan di negara ini meningkat 42 peratus bagi suku pertama tahun ini kerana kesan Covid-19.


Menurutnya, daripada 7.5 juta kakitangan aktif berdaftar dengan Perkeso pada 2019, 1.458 juta bekerja dalam sektor pelancongan manakala 1.457 juta lagi bekerja dalam bidang pembuatan.


"Lebih daripada separuh perniagaan ditutup membabitkan majikan besar dengan lebih 200 pekerja dalam sektor pelancongan.


"Sektor pembuatan memberhentikan paling ramai pekerja iaitu 23 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan kos operasi kerana menutup kilang," katanya.

Laporan bertajuk Unjuran Pekerjaan Suku Pertama 2020, Impak Covid-19 terhadap Kehilangan Pekerjaan (LOE) itu menyatakan peratusan pekerja berusia 40 tahun dan ke bawah berdaftar dengan Perkeso sebenarnya menurun empat peratus tahun lalu.

Dalam kalangan kumpulan ini, 84 peratus sudah bekerja lebih dua tahun di syarikat yang sama.


Sebanyak 79 peratus kehilangan pekerjaan berlaku di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.


Selangor menjadi negeri paling tinggi kehilangan pekerjaan iaitu 32 peratus berikutan 30 peratus daripada semua pekerjaan berada di negeri itu mewakili peningkatan enam peratus berbanding 2018.


"Lebih membimbangkan adalah Kedah yang menyumbang satu daripada enam kehilangan pekerjaan walaupun menempatkan sejumlah kecil majikan.


"Kehilangan pekerjaan di Johor kebanyakannya dalam sektor perkilangan dengan menyumbang 37 peratus dan industri pelancongan 36 peratus," katanya.


Menurutnya, negeri seperti Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan kehilangan pekerjaan tertumpu kepada industri pelancongan.




Sumber: Harian Metro

2 views0 comments