Tukun Tiruan Pelihara Hidupan Laut, Tambah Hasil Tangkapan Nelayan - Dr Hazland






KUCHING: Keputusan menanam tukun tiruan dari Sematan ke Lawas merupakan satu keputusan yang tepat bagi meningkatkan hasil laut dan sosioekonomi penduduk terutamanya para nelayan.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, ia terbukti apabila nelayan di kawasan Sematan dan Tengah Sarawak sebelum ini berjaya memperoleh hasil yang lumayan hasil daripada penanaman tukun tiruan.

“Tukun-tukun tiruan ini akan ditanam di dasar laut bagi membolehkan hidupan laut membiak sekaligus meningkatkan ekosistem laut.


“Ini sekaligus dapat meningkatkan jumlah tangkapan ikan dan hasil laut sehingga tiga kali ganda daripada sebelum ini,” katanya seperti dipetik Buletin Demak Laut.

Sementara itu Dr Hazland menambah, tukun tiruan juga dapat menghindarkan penggunaan pukat tunda yang sering digunakan oleh kapal-kapal besar kerana penggunaannya boleh mengancam hidupan di dasar laut.


“Dengan menggunakan kaedah tukun tiruan ini, ia akan dapat menghindarkan kapal-kapal yang menggunakan pukat tunda.


“Pukat tunda ini akan hancur dan musnah apabila terlekat pada tukun tiruan yang berat sekaligus memelihara hidupan laut di dasarnya,” ujarnya.


Sebanyak 1,200 tukun tiruan ditanam di dasar laut di sepanjang perairan Muara Tebas-Sebuyau yang mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan.



Sumber: TV Sarawak

5 views0 comments