Tumpahan minyak: Kerja pembersihan Pantai Cermin dan Tanjung Tuan diaktifkan



KUALA LUMPUR: Kerja pembersihan dan pelupusan sisa berminyak akibat pencemaran di Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Tanjung Tuan, Melaka dijalankan hari ini.


Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah (JTPPPD) Port Dickson dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah telah diaktifkan untuk tujuan itu.


Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kerja pembersihan di kedua-dua kawasan ini diterajui Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan Melaka.


"Ini termasuk Jabatan Laut Malaysia (JLM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pada Isnin, JAS menerima laporan daripada beberapa agensi penguatkuasa dan orang ramai mengenai kejadian tumpahan minyak yang dikesan sepanjang dua kilometer di Pantai Cermin dan Tanjung Tuan.


Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pasukan siasatan JAS telah menjalankan pemeriksaan dan mengutip sampel di kawasan pantai tercemar termasuk di tengah laut.


"Sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan.


"JAS dan APMM juga telah melakukan rondaan laut dan pemantauan menggunakan dron bagi mengesan punca tumpahan minyak ini," jelas beliau.


Kes disiasat di bawah Seksyen 27, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.


Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tambahan berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.



Sumber: Astro Awani

2 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.