Upah polis RM1,000 untuk samun kereta dibeli warga asing



Petaling Jaya: Helah ejen jualan kenderaan berkomplot dengan tiga anggota polis untuk menyamun semula kereta yang sudah dijual berakhir apabila mereka ditahan dalam serbuan berasingan bermula kelmarin hingga semalam.


Ketua Polis Daerah, Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan daripada lelaki warga asing berusia 49 tahun, Ahad lalu, memaklumkan dia disamun pada jam 6 petang semasa dia berada di Jalan PJU 1A/54, Ara Damansara bersama lelaki yang bekerja sebagai ejen jualan kenderaan Singapura.


Menurutnya, tiba-tiba dia didatangi dua lelaki memakai vest polis terus menahan ejen itu dan membawa lari kereta Audi TT dibeli mangsa.


"Bertindak atas laporan itu, jam 11.20 malam kelmarin, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat serbuan di bilik sebuah hotel di Seberang Jaya, Pulau Pinang.


"Hasil serbuan itu menahan lelaki berumur 28 tahun iaitu ejen kenderaan terbabit bersama wanita berusia 28 tahun bersama wang tunai RM20,000 disyaki hasil jualan kereta itu serta pelbagai barangan lain turut dirampas," katanya pada sidang media di Ibu IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.


Nik Ezanee berkata, turut dirampas 11 biji pil erimin 5, 14 biji pil berwarna coklat dan pil hijau disyaki dadah bersama Perodua Alza dan kereta jenis Volkswagen.


"Hasil siasatan membawa kepada penangkapan dua anggota polis berusia 34 dan 51 tahun di perkarangan IPD Kuala Muda, Kedah jam 12.10 tengah hari semalam.


"Susulan itu, polis kemudian membuat serbuan ke atas sebuah rumah teres di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani.


"Hasil serbuan itu menahan empat lelaki dan dua wanita warga asing berusia 30 hingga 54 tahun," katanya.


Beliau berkata, pemeriksaan menemui semula kereta Audi TT milik mangsa dan turut merampas dadah.


"Siasatan berkaitan dadah diserahkan kepada IPD Kuala Muda.


"Siasatan lanjut kemudian menahan seorang lagi anggota polis lelaki berusia 31 tahun jam 7.10 malam di IPD Ipoh, Perak.


"Ejen terbabit mengupah RM1,000 kepada anggota polis terbabit untuk berkomplot dengannya melakukan kegiatan ini.


"Siasatan awal mereka sudah melakukan kegiatan ini beberapa kali dengan menyasar mangsa warga asing yang membeli kereta dari Singapura," katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan mereka kini direman bagi membantu siasatan.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments