Usah cepat terpedaya viral khasiat pokok dalam rumah



KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya percaya perkongsian yang viral di media sosial sehingga ghairah membeli pokok atau tumbuhan bagi tujuan hiasan dalam rumah.


Profesor di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail, berkata walaupun semua tumbuhan mampu membekalkan oksigen untuk sistem pengudaraan yang baik, penanaman di dalam rumah perlu melihat kepada faktor kesesuaian serta mengambil kira jaminan kesihatan kepada seisi keluarga.



"Individu yang ingin menanam pokok di dalam rumah, perlu tahu apakah tujuan mereka berbuat demikian. Adakah semata-mata untuk dekorasi atau faktor lain seperti ingin menurunkan suhu kediaman dan mendapatkan oksigen.


"Selain itu, kita juga perlu tahu apakah bahaya yang mungkin dihadapi kalau tumbuhan ini terkena pada manusia atau mungkin dimakan oleh kanak–kanak.


"Semua perkara ini kita perlu tahu dan sesuaikan dengan keadaan penghuni rumah," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.


Ketika ini, tumbuhan hiasan termasuk lidah jin, pokok labah-labah dan lidah buaya, dijual dengan harga yang tinggi berikutan sambutan masyarakat yang terpengaruh kepada viral khasiatnya.


Kebanyakan penjual atau pengusaha tumbuhan itu, memuat naik gambar kediaman yang menggunakannya sebagai dekorasi, selain mengaitkan ia bermanfaat bagi tujuan pengudaraan.


Mengulas lanjut mengenai pokok lidah jin yang viral di media sosial, Ahmad berkata, orang ramai sepatutnya merujuk kepada fakta berasas dan lebih berwibawa.


Katanya, bukan sahaja lidah jin, tetapi banyak tumbuhan lain yang turut dikaitkan kemampuan membersihkan udara termasuk jenis palma, filodendron dan paku pakis.


"Dalam dunia serba baharu sekarang, kita boleh merujuk kepada fakta di dalam internet yang berwibawa, bukan percaya kepada hal yang tular semata-mata.


"Tidak dinafikan banyak kebaikan dengan menanam pokok kerana ia menghasilkan oksigen, karbon dioksida dan menyerap bahan kimia.


"Pada masa sama, perlulah dipastikan sama ada pokok itu sesuai ditanam di dalam rumah atau sebaliknya," katanya.

Beliau berpandangan, lebih banyak keburukan daripada kebaikan bagi aktiviti menanam tumbuhan hiasan di dalam rumah.


"Ada getah, sap atau air yang dihasilkan pokok melalui tanah, bakteria, fungus, cacing dan serangga yang boleh membahayakan.


"Ia bergantung kepada tumbuhan dan keracunan juga boleh berlaku apabila bersentuhan dengan pokok yang tajam, bergetah dan bagi tumbuhan yang mengeluarkan cecair.


"Selain itu, keracunan juga boleh berlaku sekiranya termakan daun, bunga atau buah," katanya.


Justeru, katanya, selain melihat kepada kesesuaian tumbuhan yang ingin ditanam di dalam rumah, ia perlu mengambil kira beberapa faktor lain.


"Sekiranya ada kanak-kanak, haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing dengan ruang kediaman yang sempit, maka tidak sesuai pokok ditanam di dalam rumah.


"Jika masih mahu tanam pokok, disarankan buatlah di luar kediaman," katanya.


Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Sains Biologi dan Biolteknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Norela Sulaiman, tidak menafikan pokok lidah jin sesuai ditanam di dalam rumah.


"Ia antara tanaman yang membebaskan oksigen dan boleh menyingkirkan karbon dioksida, selain menapis toksin beracun dalam udara dalaman seperti benzena, formaldehid dan tricloroethylene, yang biasanya dibebaskan daripada perabot, cat dan bahan binaan dalaman.


"Perkara ini juga bukanlah satu benda baharu, cuma ia diperkatakan semula apabila viral di media sosial," katanya.


Norela berkata, orang ramai perlu tahu ada jenis tumbuhan yang tidak sesuai bagi tanaman di dalam rumah atas beberapa faktor antaranya bagi pokok yang memerlukan banyak sinaran matahari.


"Lidah jin ini sesuai ditanam dalam rumah kerana ia mempunyai ketahanan tinggi dan senang hidup dalam apa sahaja keadaan.


"Bahkan, tidak perlu disiram setiap hari," katanya.


Beliau turut mengulas kebimbangan sesetengah pihak yang mendakwa penanaman tumbuhan di dalam rumah menggunakan tanah boleh menjejaskan kesihatan kerana ia mampu membiakkan mikroorganisma.


"Tanah sememangnya ada mikro organisma tetapi kita ada antibodi bagi melawan daripada penyakit.


"Namun, ia tidaklah sehingga memudaratkan kesihatan dengan kebarangkalian bagi tersebarnya adalah kurang daripada 80 peratus," katanya.


Norela berkata, pengguna perlu tahu sekurang-kurangnya mengenai khasiat dan cara penjagaan pokok.


"Masyarakat mesti ada pengetahuan bagi barangan yang hendak dibeli dan janganlah terpedaya dengan perkara yang tular.


"Jika boleh, buatlah tinjauan dahulu di nurseri untuk mengetahui harga pasaran dan jenis tanaman yang sesuai untuk ditanam dalam rumah termasuk saiznya," katanya.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.