Vardy menang Kasut Emas


LONDON: Jamie Vardy menang Kasut Emas Liga Perdana buat kali pertama dalam kariernya awal pagi tadi walaupun penamat buruk pada penghujung musim menyaksikan Leicester City terlepas saingan Liga Juara-Juara.


Penyerang England berusia 33 tahun itu menjadi pemain paling tua menang anugerah penjaring terbanyak selepas meledak 23 gol, satu melebihi penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dan pemain Southampton, Danny Ings.


Dengan Chelsea memastikan kedudukan empat pasukan teratas dengan kemenangan 2-0 mengatasi Wolverhampton Wanderers, Vardy gagal menemui sentuhan ketika Foxes cuba mengatasi Manchester United dan skuad Ole Gunnar Solskjaer bagi kedudukan empat teratas.


Vardy hampir mendapatkan gol buat Leicester ketika tewas 2-0 di Stadium King Power apabila sepakannya terkena palang selepas sejam perlawanan.


Ederson meraih anugerah 'Sarung Tangan Emas' kerana paling banyak mencatat perlawanan tanpa bolos selepas Manchester City menang 5-0 mengatasi pasukan tersingkir, Norwich seterusnya merekodkan 16 perlawanan tanpa bolos musim ini.


Dia menamatkan saingan satu perlawanan lebih baik berbanding penjaga gol Burnley, Nick Pope, yang pasukannya tewas 2-1 di laman sendiri kepada Brighton. - AFP




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments