Wad Hospital Sultanah Aminah terbakar


JOHOR BAHRU: Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA) terbakar kira-kira jam 3 petang tadi.


Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba, dalam sidang media di hospital itu berkata tiada kecederaan dan kematian dalam kebakaran itu.


Katanya, ketika kejadian 52 pesakit berada dalam Kompleks Wad Perubatan Perempuan. Daripada jumlah itu 24 pesakit berada dalam wad yang terbakar diselamatkan oleh Pasukan Tindakan Pantas (Emergency Respon Team).


"Seramai 42 pesakit dipindahkan ke wad perempuan di bangunan HSA yang lain, manakala 10 pesakit yang memerlukan pemerhatian dipindahkan ke Hospital Permai.


"Kebakaran ini tiada kaitan dengan kebakaran empat tahun lalu kerana bangunan juga berbeza. Punca kebakaran masih disiasat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


"Tiada kematian seperti yang tular di media sosial. Kebakaran ini tidak membabitkan kecederaan dan kematian," katanya sambil menambah bangunan itu akan ditutup sehingga ia disahkan selamat oleh JBPM dan Jabatan Kerja Raya (JKR).





Pada Oktober 2016, berlaku kebakaran besar di Wad Rawatan Rapi (ICU) HSA sehingga mengorbankan enam nyawa.


Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, semua pesakit dipindahkan serta merta setelah berlaku kebakaran.


"Pihak keluarga boleh dapatkan maklumat mengenai waris daripada pihak HSA.


"Kita akan jalankan penyiasatan situasi secara menyeluruh dan akan pastikan ada penambahbaikan keadaan," katanya.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments