Wan Kuzri sertai latihan kendalian Brad Maloney


PETALING JAYA, 16 Julai -- Pemain berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal, hari ini akhirnya menyertai 34 pemain lain dalam latihan skuad Bawah 18 (U-18) bagi persediaan menghadapi Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 Bawah 19 Tahun.

Pemain tengah Akademi Bola Sepak St Louis berusia 18 tahun itu, telah melengkapkan kuarantin wajib dan diuji negatif COVId-19 dalam dua ujian swab yang dikenakan ke atasnya, sejak pulang daripada Amerika Syarikat (AS).

Bercakap kepada media tempatan buat kali pertama, Wan Kuzri yang merupakan adik kepada pemain Sporting Kansas City Wan Kuzain, berharap akan dapat membantu pasukan bimbingan Brad Maloney dengan menggunakan pengalamannya di AS dan bukannya memikirkan apa yang diharapkan daripada peminat.


“Saya akan sertai pasukan dan lihat bagaimana saya boleh membantu pasukan, secara jujurnya saya fikir sangat apa yang mereka harapkan. Saya hanya akan sertai pasukan dan bermain.

“Saya rasa bola sepak adalah satu permainan universal, jadi saya rasa permainan saya di sini sama sahaja seperti di AS,” katanya kepada pemberita di sesi latihan pasukan itu di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.

Tambah Wan Kuzri, beliau adalah seorang pemain yang kreatif dan suka untuk mencipta banyak peluang dalam permainan dan mencipta gol untuk pasukan, dan itulah yang membezakan antara beliau dengan yang lain.


Kejohanan AFC U-19 2020, yang dijadualkan berlangsung dari 14 ke 31 Okt di Uzbekistan merupakan pusingan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20, tahun 2021.

Malaysia diundi berada dalam Kumpulan D bersama bekas juara Qatar, selain Tajikistan dan Yemen, menyasarkan untuk menjadi pasukan Malaysia pertama layak ke Piala Dunia itu, atas merit. -- BERNAMA




Sumber: Bernama

1 view0 comments