Wanita India dakwa Putera Harry ingkar janji untuk kahwin



New Delhi: Seorang wanita mengemukakan petisyen di sebuah mahkamah tinggi di India mendakwa Putera Harry ingkar janji untuk mengahwininya.


Malah, wanita itu memohon supaya waran tangkap dikeluarkan kepada Harry supaya tiada lagi 'penangguhan' dalam perkahwinan mereka.


TimesNowNews.com melaporkan permohonan itu dikemukakan oleh Palwinder Singh di Mahkamah Tinggi Punjab dan Haryana.


Palwinder mewakili dirinya dalam permohonan berkenaan dan kes itu didengar di mahkamah berkenaan.


Bagaimanapun, Hakim Arvind Singh Sangwan mendapati bahawa ia adalah 'fantasi angan-angan untuk mengahwini Putera Harry'.


Hakim juga mendapati bahawa petisyen itu tidak teratur dengan kesalahan tatabahasa dan menunjukkan wanita itu kurang pengetahuan undang-undang dalam mengemukakan dakwaannya.


Dalam pada itu, Palwinder dalam petisyen itu menyatakan beberapa e-mel yang didakwa komunikasi antara dirinya dan Putera Harry.


Ditanya hakim sama ada dia pernah berada di United Kingdom, wanita itu hanya memberitahu mahkamah bahawa semua komunikasi dilakukan menerusi media sosial.


Palwinder juga menyatakan dia sudah menghantar mesej kepada Putera Charles bahawa anaknya itu sudah bertunang dengannya.


Hakim bagaimanapun menolak petisyen berkenaan dengan menyatakan bahawa ramai sudah sedia maklum bahawa identiti palsu mudah dicipta pihak tertentu di media sosial.


Justeru katanya, mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti yang dikemukakan oleh wanita itu.


"Ada kemungkinan 'Putera Harry' ini duduk di kafe siber di kampung di (wilayah) Punjab dan mencari peluang untuk dirinya," katanya.


Putera Harry yang berkahwin dengan pelakon Amerika Syarikat, Meghan Markle kini mempunyai seorang anak lelaki bernama Archie.


Meghan kini hamil anak kedua mereka.



--Sumber: Harian Metro

0 views0 comments