Yusry cipta rekod hasil telefilem dari rumah



KUALA LUMPUR: Membuktikan keupayaan diri, pengarah dan pelakon, Yusry Abdul Halim menyahut cabaran duduk di rumah dengan menyiapkan telefilem berjudul 6 Hari yang dilangsaikan dalam tempoh sama seperti judulnya.


Memulakan kerja pembikinan sejak 6 Mei lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasakan, suami Lisa Surihani ini melakukan hampir semua kerja dalam produksi telefilem terbabit.


Tidak cukup dengan mengarah, Yusry dan Lisa turut menjadi teraju utama telefilem ini dengan dibantu pelakon lain seperti Datuk Aaron Aziz dan Neelofa.


"Sukar hendak merealisasikan telefilem ini dengan segala keterbatasan, apatah lagi perlu duduk di rumah.


"Memang kerja ini 'one man show'... Penggambaran mengambil masa enam hari sama seperti judul projek ini," katanya kepada BH Online.


Bercerita lanjut mengenai projek itu, Yusry berkata, selain mengarah, dia bertindak sebagai penerbit, penulis skrip dan penata seni.


"Saya juga buat poster telefilem, selain kesan visual dan muzik. Cuma kerja suntingan saya serahkan kepada penyunting kerana mengejar masa.


"Hakikatnya, bantuan kru cukup penting dalam sesebuah produksi. Sukar melakukan penggambaran tanpa kru.


"Cuma dalam keadaan semua terbatas, saya kena cabar diri," katanya.

Bagaimanapun, Yusry berkata, dia dibantu seorang jurukamera yang tinggal bersama sepanjang penggambaran.


"Dia menjalani ujian COVID-19 dan selepas keputusan diterima iaitu negatif, barulah dia menetap di rumah saya sepanjang penggambaran," katanya.


Yusry berkata, telefilem 6 Hari berkisar kehidupan Suzi lakonan Lisa yang juga isteri ketiga Ismal lakonan Aaron.


"Suzi tinggal bersendirian di sebuah banglo. Ismal hanya pulang setiap enam hari untuk menghabiskan masa bersama isteri yang lain.


"Tiba-tiba, kehidupan Suzi diganggu bekas kekasihnya, Faizal lakonan saya. Daripada itu, bermulalah plot cerita," katanya.


Yusry berkata, watak Linda iaitu teman baik Suzi dilakonkan Neelofa.


"Saya terbayang watak Linda dibawa Neelofa sejak mula lagi.


"Alhamdulillah, apabila saya dan Lisa menghubunginya, dia bersetuju untuk turut serta dalam projek ini," katanya sambil menambah Aaron dan Neelofa beraksi sendiri di kediaman masing-masing dengan kerja penggambaran dipantaunya.


Yusry berkata, bergandingan dengan isteri dalam telefilem berkenaan cukup mudah dan tidak mendatangkan masalah.


"Saya sudah beberapa kali mengarah Lisa dalam drama dan filem, jadi sedikit sebanyak memudahkan kerja.


"Malah, Lisa memberi input dan idea untuk saya menghidupkan cerita ini," katanya.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments