Yuzy atur strategi tawan Litar Sepang


KUALA LUMPUR: Kalendar Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia 2020 bakal menyajikan lapan pusingan dengan kesemuanya berlangsung di litar tetap.


Justeru, pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing kini sedang mengatur strategi bersama pelumbanya untuk mencari manfaat daripada saingan di litar tetap dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Utara bakal menjadi lokasi pertama musim, Jumaat dan Sabtu ini.


"Semua perlumbaan musim ini akan dipertandingkan di litar tetap seperti Sepang, Tangkak dan Kuala Terengganu," kata pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.


"Ini adalah untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) baharu di mana penonton masih belum dibenarkan hadir dalam perlumbaan.


"Penganjuran perlumbaan di litar tetap adalah satu-satunya kaedah terbaik untuk menepati syarat berkenaan."


Isnin lalu, promoter kejuaraan, Safe Aim Mutual (SAM) Sdn Bhd mengumumkan kalendar baharu bagi musim 2020 selepas pandemik COVID-19 mengganggu perjalanan kempen yang sepatutnya membuka tirainya, Mac lalu.


Mengulas lanjut, Yuzy berkata: "Selepas jadual perlumbaan baharu diumumkan, ramai juga peminat yang mula bertanya, adakah jadual baharu ini membawa kelebihan kepada pasukan dan pelumba Honda.


"Tidak dinafikan, terutama dalam kelas perdana CP150, ciri-ciri jentera Honda RS150 sememangnya mempunyai kelebihan di litar yang lebar dan panjang.

"Namun, pelumba kami harus menggunakan pendekatan strategik dalam perlumbaan nanti," katanya.


Info

Kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS Musim 2020

Pusingan 1 Litar Sepang (Utara) 17 – 18 Julai, 2020

Pusingan 2 Tangkak 22 – 23 Ogos, 2020

Pusingan 3 Litar Sepang (Selatan) 2 – 3 September, 2020

Pusingan 4 Kuala Terengganu 18 – 19 September, 2020

Pusingan 5 Tangkak 10 – 11 Oktober, 2020

Pusingan 6 Litar Sepang (Selatan) 31 Oktober – 1 November, 2020

Pusingan 7 Litar Sepang [bakal diumumkan]

Pusingan 8 Tangkak 12 – 13 Disember, 2020



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments